Lelaki maut, adik perempuan hampir putus tangan ditetak

10 Mar 2026 • 9:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan tiga suspek susulan kes seorang lelaki maut manakala adik perempuannya mengalami kecederaan hampir putus di tangan akibat ditetak dalam kejadian di Taman Kempas.
image is not available
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut manakala adik perempuannya mengalami kecederaan hampir putus di tangan akibat ditetak dalam kejadian di Taman Kempas dekat sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa berusia lewat 20-an dilaporkan maut akibat tetakan berulang kali di hadapan rumahnya.

"Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam sehingga 2 pagi.

"Difahamkan, mangsa yang cedera dilaporkan mengalami kecederaan di mana tangannya hampir putus," katanya.

**media[3458299]**

Hanyan berkata, susulan kejadian, tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang perempuan ditahan bagi membantu siasatan.

"Motif serangan masih dalam siasatan... hubungan ketiga-tiga suspek juga sedang disiasat dan suspek lelaki dikatakan tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan mangsa.

"Mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat manakala adiknya yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa senjata yang dipercayai digunakan suspek ditemui di lokasi kejadian dirampas untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.