
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang merogol adik perempuannya sebanyak dua kali dan dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 26 tahun serta 20 sebatan memberitahu mahkamah bahawa keluarganya pernah berbincang untuk menutup kes rogol tersebut namun usaha itu tidak berjaya.
Perkara itu dinyatakan sebagai antara faktor mitigasi oleh tertuduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain pada Khamis selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.
Tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan kes tersebut melibatkan masa depannya serta boleh memalukan keluarga.
Lelaki berkenaan menyatakan keluarganya pernah berbincang untuk menutup kes rogol itu tetapi usaha tersebut tidak berjaya.
Bagi pertuduhan pertama lelaki itu dipenjara 13 tahun dan diperintahkan untuk disebat 10 kali kerana merogol gadis berusia 14 tahun lapan bulan pada tengah hari pertengahan Januari 2025 di sebuah rumah di sebuah kampung di Ranau.
Bagi pertuduhan kedua tertuduh dihukum penjara 13 tahun lagi serta 10 sebatan kerana merogol mangsa sama antara jam 8 malam hingga 9 malam pada tempoh sama di bahagian bawah rumah yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berturut-turut bermula dari tarikh dia ditangkap serta menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh hukuman.
Tertuduh sebelum itu memohon agar hukuman penjara berkenaan dijalankan secara serentak.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu serius kerana melibatkan maruah serta integriti tubuh mangsa.
Fazriel selanjutnya berhujah bahawa mangsa berusia 14 tahun pada ketika itu dan dia mungkin mengalami trauma psikologi jangka panjang kerana dirogol oleh abangnya sendiri.
Selain hukuman penjara dan sebatan, pihak pendakwaan juga memohon supaya tertuduh diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh ditahan selepas mangsa sendiri membuat laporan polis mendakwa abangnya telah merogolnya sebanyak dua kali.
Siasatan mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di lokasi yang sama pada pertengahan Januari 2025.
