
KUANTAN: Seorang lelaki maut dipercayai akibat dihempap batu semasa melombong emas secara haram di Sungai Kadir berhampiran Kampung Sungai Temau, Lipis hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 4 petang dan mangsa yang berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap bongkah batu di bahagian dada hingga ke paras pinggang.
“Mangsa dikatakan melombong di anak sungai yang terletak dalam kawasan hutan simpan bersama dua rakan dan bongkah batu di lereng bukit dipercayai jatuh selepas mereka mengorek tanah di situ,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata kejadian itu menyebabkan dua rakan mangsa bergegas pulang ke kampung yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian untuk meminta bantuan bagi mengeluarkan mangsa.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian pada 4.30 petang dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
Azli berkata polis turut merakam percakapan dua rakan mangsa bagi melengkapkan siasatan. - Bernama
