Lelaki maut dihempap pokok selepas ziarah ibu sakit

14 Oct 2024 • 8:49 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SIK, 14 OKT: Seorang pengawal keselamatan sekolah maut selepas dihempap pokok tumbang ketika sedang menunggang motosikal di Kampung Bandar Hilir di sini petang semalam.

Ketika kejadian mangsa, Mohd Rizal Aziz, 47, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menziarahi ibunya yang sakit di Tanjung Besar di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.58 petang dan tiba di lokasi pada 6.17 petang.

“Setibanya di lokasi, terdapat seorang mangsa tersepit antara motosikal yang ditunggangi dan dahan pokok tumbang. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebanyak 20 petugas termasuk anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan sukarelawan Khidmat Malaysia membantu memotong dahan pokok bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Zulkhairi berkata pasukan bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan kemudian menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdull Razak Osman ketika dihubungi berkata beberapa kawasan di daerah itu dilanda ribut dan hujan lebat pada kira-kira 6 petang semalam.

“Angin kencang telah menyebabkan pokok tumbang di Kampung Bandar Hilir dan menghempap mangsa. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat,” katanya.

-BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved