Lelaki maut diserang gajah liar di Gua Musang

LocalEnvironment
31 Oct 2025 • 9:06 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

GUA MUSANG, 31 OKT: Mandur balak maut dipercayai diserang sekawan gajah liar di kawasan rumah kongsi tapak pembalakan Felda Aring 8, di sini, semalam.

Mangsa, Saidi Jahari, 43, ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan parah dipercayai dipijak gajah di jalan keluar kawasan kongsi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 8.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, enam pekerja pembalakan sedang tidur di dalam rumah kongsi sebelum terhidu bau gajah dan mendengar bunyi bising di luar.

“Mereka bertindak melarikan diri ke hutan, namun mangsa tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Menurutnya, beberapa jam kemudian, rakan mangsa yang kembali ke rumah kongsi mendapati Saidi masih hidup tetapi parah di kedua-dua kaki.

“Tidak lama selepas itu, seekor gajah kembali menyerang kawasan berkenaan menyebabkan mereka sekali lagi melarikan diri ke hutan.

“Apabila keadaan reda, mereka menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa dengan kecederaan serius dipercayai dipijak gajah,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, manakala pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dimaklumkan dan kini mengesan serta mengawal pergerakan kawanan gajah tersebut.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved