
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan maut akibat ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal di Lorong Mahang 1, Taman Meru Utama, Meru, Klang, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao berkata, mangsa, yang berusia 46 tahun itu ditemui dalam keadaan mengiring dengan berlumuran darah di tempat duduk pemandu, dalam kenderaan pacuan empat roda, pada 3.37 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,’’ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
https://youtube.com/shorts/cEo-tf46Djg?si=XEaURpB_yo0lvjkO
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti suspek dan motif kejadian.
Orang ramai, katanya yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat, ASP M. Sathiyaseelan di talian 012 5197913, atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.
Ini merupakan kejadian tembakan ketiga berlaku dalam bulan ini di Lembah Klang melibatkan kes tembakan.
Kes pertama berlaku pada 14 Jun lalu di Brickfields. Dalam kejadian itu, tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan, manakala dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM.
Manakala pada Selasa, dua lelaki maut selepas dipercayai ditembak sekumpulan individu di luar pekarangan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, awal pagi.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam ketika kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diparkir di perkarangan pusat beli-belah berkenaan. - 20 Jun, 2025
The post Lelaki maut ditembak dalam kereta di Meru appeared first on Scoop.

