Lelaki maut ditembak di Puchong Prima ada 14 rekod lampau

14 Jan 2024 • 9:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek maut selepas berbalas tembakan di hadapan Apartmen Sri Acasia, Taman Puchong Prima jam 3.49 petang Ahad.

image is not available
Laporan Sinar Harian.

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Taman Puchong Prima dekat sini pada Ahad, adalah individu dikehendaki polis yang mempunyai 14 rekod lampau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek adalah seorang lelaki tempatan yang mempunyai tujuh rekod jenayah, enam rekod kesalahan narkotik dan satu rekod dikehendaki pihak polis.

Menurutnya, suspek maut selepas berbalas tembakan di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima, di sini sekitar jam 3.49 petang.

"Siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ekoran kejadian itu, kata beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Menurut beliau lagi, mereka yang mempunyai maklumat boleh juga menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627222.

Tambah beliau, pihak polis turut mengesan satu rakaman video berhubung kejadian tembak tersebut yang telah tular di media sosial.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menularkan video tersebut yang mana boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Tular satu klip video berdurasi 39 saat memaparkan beberapa lelaki menjerit dan kedengaran bunyi kuat dipercayai tembakan dilepaskan.

Video tersebut tular selepas dimuat naik seorang pengguna media sosial Facebook yang dipercayai dirakam dari tingkat atas di sebuah premis berhampiran lokasi kejadian.

Pihak polis turut bertindak menutup sebahagian jalan berkenaan daripada dimasuki individu tidak sepatutnya.