Lelaki maut ditembak polis, kumpulan penjenayah tumpas

LocalPolitics
5 Dec 2024 • 4:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KOTA KINABALU, 5 DIS: Seorang penjenayah maut selepas berbalas tembak dengan polis di Inanam di sini 2.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah Datuk Azmi Abdul Rahim berkata suspek lelaki berusia 59 tahun itu dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati oleh polis di Penampang pada malam Selasa lalu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis menyerbu bilik di sebuah bangunan (di Inanam). Suspek melepaskan tembakan, menyebabkan pasukan serbuan bertindak membalas tembakan bagi melindungi diri serta nyawa anggota polis.

“Suspek disahkan mati di tempat kejadian. Dengan tumpasnya empat suspek ini kami percaya kegiatan kumpulan ini telah dibanteras sepenuhnya,” katanya kepada media di sini hari ini.

Azmi berkata suspek bersama tiga rakannya juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah, termasuk kes bunuh di Sarawak.

– BERNAMA