Suspek Terakhir Dari Sarawak Tumpas Dalam Insiden Berbalas Tembakan Di Penampang

5 Dec 2024 • 2:02 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Suspek Dikehendaki dari Sarawak Tewas dalam Operasi Polis di Inanam

Suspek Terakhir Dari Sarawak Tumpas Dalam Insiden Berbalas Tembakan Di Penampang. Polis Sabah berjaya menumpaskan seorang lagi suspek dikehendaki dalam satu insiden berbalas tembakan di sebuah bangunan berhampiran Terminal Bas Inanam awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, suspek berusia 59 tahun itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga lagi suspek yang ditembak mati di Beverly Hill, Bundusan, Penampang, Selasa lalu.

image is not available
Suspek Terakhir Dari Sarawak Tumpas Dalam Insiden Berbalas Tembakan Di Penampang. Sumber gambar: The Borneo Post

Serbuan Berakhir dengan Tembakan Balas

Azmi memaklumkan, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menyerbu bangunan tersebut pada jam 1.45 pagi.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis, menyebabkan pasukan serbuan bertindak balas demi mempertahankan diri.

“Suspek tersebut mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi insiden.

Suspek dari Sarawak, Ada Rekod Kes Bunuh

Beliau turut mendedahkan bahawa suspek berasal dari Sarawak dan dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah berat, termasuk kes pembunuhan di negeri tersebut.

“Dengan kematian empat suspek ini, polis percaya semua suspek dikehendaki dalam kes ini telah berjaya ditumpaskan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Azmi menjelaskan bahawa siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti kemungkinan kaitan kes lain.

Pada Selasa malam, polis Sabah berjaya menumpaskan tiga suspek lain dalam satu kejadian tembakan di Beverly Hill. Insiden pada jam 9.13 malam itu menyaksikan ketiga-tiga suspek, yang berusia antara 40 hingga 50 tahun dan berasal dari Sarawak, ditembak mati di lokasi kejadian.

Polis kini sedang berusaha untuk melengkapkan siasatan dan memastikan kawasan tersebut bebas daripada ancaman jenayah seumpama ini.

Baca juga artikel semasa di bawah: