Lelaki maut kepala tersepit pintu lif

26 Dec 2023 • 9:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Seorang pekerja penyelenggara maut selepas kepalanya tersepit ketika sedang menjalankan kerja menyelenggara lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, di sini hari ini.

Mangsa R.Tinesh Kumar, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi pekerja penyelenggara berusia 53 tahun selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba pihak bomba mendapati terdapat dua lelaki iaitu pekerja penyelenggara yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan lif telah terperangkap dalam lif namun seorang daripadanya telah tersepit di bahagian kepala pada pintu lif dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Manakala seorang lagi berusia 53 tahun dalam keadaan selamat. Pihak bomba kemudiannya menjalankan kerja menyelamat dengan membuka pintu lif sebelum mengeluarkan mangsa,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati lelaki yang tersepit itu telah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. -Bernama