BATU KAWAN – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori berhampiran UOW Malaysia KDU Penang University College di Persiaran Cassia Barat, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.03 pagi itu, mangsa berusia 46 tahun yang memandu sebuah Proton Saga didapati tersepit di ruang pemandu selepas kenderaannya dilanggar oleh sebuah lori jenis Hino.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bersama bantuan BBP Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 14 minit kemudian dan mendapati terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Komander operasi kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
"Pemandu lori berusia 52 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Sementara mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada jam 10.43 pagi.






