BATU PAHAT - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran sebuah gudang di Jalan Lama Yong Peng-Ayer Hitam, malam Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Rafidi Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam sebelum menghantar lima anggota berserta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
**media[3457538]**
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios, Perodua Bezza dan Nissan Sentra yang melibatkan lima mangsa semuanya.
"Akibat kemalangan tersebut Toyota Vios terbakar sebanyak 80 peratus. Seorang lelaki dewasa dalam kereta itu dikeluarkan oleh orang awam sebelum kereta tersebut terbakar namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir," katanya dalam kenyataan.
**media[3457542]**
Beliau berkata, pemandu Perodua Bezza iaitu seorang wanita berusia 33 tahun terselamat manakala pemandu Nissan Sentra iaitu seorang lelaki berusia 65 tahun tersepit dan cedera.
Katanya, warga emas tersebut berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas manakala dua penumpang lelaki dalam kereta tersebut terselamat.
"Mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
**media[3457543]**


