Lelaki maut ketika bantu rakan isi minyak

17 Mar 2026 • 1:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang membantu rakannya mengisi minyak kereta di Kilometer 2.6 JRTB Gerik–Jeli pada Isnin.

GERIK – Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang membantu rakannya mengisi minyak kereta yang kehabisan bahan bakar di Kilometer 2.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa berusia 21 tahun dilaporkan datang ke lokasi dengan menaiki motosikal selepas dihubungi rakannya yang memandu sebuah Proton Saga.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu rakannya itu kehabisan minyak sebelum mangsa datang membantu.

"Semasa kedua-dua mereka sedang mengisi minyak di bahagian kanan jalan, tiba-tiba sebuah kereta tidak dikenal pasti dipercayai berwarna putih dari arah Jeli ke Gerik telah melanggar mangsa.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Abdul Samad berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.50 malam ketika menerima rawatan, manakala pemandu Proton Saga tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222.