
KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemui tidak bernyawa selepas disyaki cuba melakukan kegiatan mencuri kabel di tepi jalan besar Kilometer 21, Felda Adela menghala ke Sungai Rengit hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki itu menerusi talian kecemasan 999 pukul 6.46 pagi.
Katanya, susulan maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Tinggi telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati individu tersebut telah meninggal dunia dan dijumpai dalam keadaan terbaring lebih kurang satu meter berhampiran rumah pencawang TNB dan lebih kurang 20 meter dari jalan raya. Pemeriksaan pada tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dijumpai dan tiada tanda-tanda awal yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.
“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut di sekitar tempat kejadian menjumpai beberapa peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel tnb, iaitu sebuah cangkul kecil berukuran 45 cm, sebuah mesin canai tanpa kord (cordless grinder), sebatang tukul besi, sebuah perengkuh paip dan sebuah lampu suluh kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, identiti mangsa dalam proses pengesahan dan punca kematian masih disiasat
“Mayat telah dibawa ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, SM Muhammad Aliff Syah Abdullah, Ketua Polis Balai Adela di talian 013-7426353 atau di mana-mana balai polis berdekatan atau melalui hotline polis IPD Kota Tinggi ditalian 07-8831222,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut ketika curi kabel elektrik appeared first on Kosmo Online.






