
TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang tersadai di lorong kiri jalan berhampiran Bulatan Sungai Burong, Jalan Apas–Balung di sini, kira-kira jam 4.50 pagi Jumaat.
Difahamkan mangsa dikenali sebagai Hassan Ambo Latta, 32, seorang pekerja Kilang Teck Guan, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC ketika kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku kerana mangsa tidak menyedari keberadaan lori yang diparkir di lorong kiri jalan, berikutan keadaan gelap dan ketiadaan lampu jalan di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung di lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerjanya di Kilang Teck Guan kira-kira jam 4.30 pagi sebelum kemalangan berlaku,” katanya.
Menurut beliau, penunggang motosikal itu melanggar bahagian belakang kenderaan berat berkenaan sebelum tercampak ke lorong kanan jalan dan mengalami kecederaan parah.
Jasmin berkata, polis menahan pemandu lori tersebut seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun, yang disyaki gagal meletakkan papan tanda amaran atau peranti keselamatan sebagai isyarat kepada pengguna jalan raya lain.
“Lori itu juga diparkir di kawasan yang tidak mempunyai lampu jalan,” katanya, sambil menegaskan kenderaan rosak perlu dialihkan ke tempat selamat dan dipasang papan tanda amaran, khususnya di kawasan gelap, bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa pengguna lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan baja itu diparkir di lokasi kejadian selepas mengalami kerosakan ketika pemandu dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas ke Beluran pada 17 Dis lalu, kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, lori berkenaan mengalami kerosakan mekanikal serius sehingga menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula, selain dibiarkan tersadai di lokasi kejadian selama dua hari tanpa dialihkan.
“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya, dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.


