
KUNAK: Seorang pengurus premis berumur 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital setelah ditemui tidak sedarkan diri susulan kebakaran di sebuah pusat pengumpulan tandan kosong kelapa sawit Sapang Air, di sini, pada petang Khamis.
Lelaki itu dipercayai meninggal dunia kerana kejutan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.11 petang menerusi talian MERS999.
Sepasukan lima anggota diketuai PBKII Rosman Gari, dengan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS, dikerah ke lokasi yang terletak 14 kilometer dari balai.
“Semasa tiba, seorang lelaki didapati tidak sedarkan diri berhampiran lokasi kejadian itu. Mangsa dibawa ke Hospital Kunak menggunakan kenderaan EMRS,” katanya.
Mohamad berkata pasukan memadamkan kebakaran tandan kelapa sawit daripada merebak ke kawasan lain, menggunakan dua aliran 700 kaki dengan dua pancutan sumber air dari tangki jentera bomba.


