Lelaki maut tersepit dalam nahas kereta dengan lori tangki

28 Jun 2023 • 8:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba dari BBP Rompin membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas nahas dengan lori tangki di Jalan Rompin Endau -Kampung Batu 8 Pontian, Rompin awal pagi Rabu.

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan lori tangki di Jalan Rompin Endau - Kampung Batu 8 Pontian, Rompin awal pagi Rabu.

Dalam nahas yang dilaporkan jam 1.15 pagi itu, dua penumpang terdiri wanita dan seorang bayi lelaki turut cedera.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Lapan anggota bomba termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

"Mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk mendapatkan rawatan.