
TELUPID: Seorang pemandu lelaki berusia 46 tahun maut, manakala tiga penumpangnya – seorang wanita berusia 45 tahun dan dua remaja lelaki dan perempuan, masing-masing 14 dan 16 tahun – cedera selepas Mitsubishi Triton yang dipandu terbabas di Kampung Buis, Kiabau, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 malam melalui talian MERS999.
Pasukan lima anggota yang dikerah dengan sebuah jentera, tiba di lokasi sejauh 70km dari balai itu pada jam 10.28 malam.
Menurutnya, dua mangsa telah pun dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Telupid dan seorang lagi mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan.
Mangsa terakhir dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam.


