Lelaki Melaka buat onar di Batam

9 Nov 2026 • 3:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki Melaka buat onar di Batam

JOHOR BAHRU – Angkara kehabisan wang belanja dan terdesak untuk pulang ke tanah air, seorang lelaki Malaysia bertindak nekad menyamun kenderaan seorang wanita di Batam, Indonesia, Jumaat lalu.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Melaka itu turut bertindak agresif merempuh seorang anggota polis trafik sehingga cedera ketika cuba meloloskan diri daripada ditangkap.

Ketika kejadian suspek mengacukan pistol acuan (airsoft) serta pisau.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki Indonesia sejak 15 September lalu untuk bercuti, namun telah tinggal lebih masa (overstay) selama 10 hari selepas kehabisan wang.

“Suspek kemudian merancang untuk merompak secara rawak bagi mendapatkan wang bagi membiayai tambang pulang ke Malaysia,” katanya kepada media Indonesia.

Mangsa yang berusia 48 tahun baru sahaja selesai membayar cukai kenderaan dan mengeluarkan wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Harbour Bay.

Sebaik sahaja mangsa masuk ke dalam kereta jenis Toyota Rush miliknya, suspek tiba-tiba meluru masuk ke tempat duduk penumpang dan mengugut mangsa dengan senjata sebelum mengarahkannya memandu ke kawasan Bukit Senyum.

Setibanya di pekarangan sebuah taman perumahan, suspek memaksa mangsa memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank peribadinya.

Bagaimanapun, tindakan berani mangsa yang menjerit meminta tolong mencetuskan panik suspek, menyebabkan wanita itu ditolak keluar dari kenderaan sebelum suspek melarikan kereta serta barangan berharga bernilai 292 juta rupiah (RM73,000).

Kebetulan ketika kejadian seorang anggota polis trafik berada di kawasan berhampiran.

Anggota terbabit bertindak mengejar dan memintas kenderaan berkenaan, namun suspek yang enggan menyerah diri bertindak mengacukan pistol airsoft lalu merempuh polis berkenaan sehingga mengalami kecederaan.

Hasil soal siasat mendapati pistol airsoft itu dibeli suspek daripada seorang pengawal keselamatan pangsapuri dengan harga satu juta rupiah (RM250). Pengawal keselamatan terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek kini berdepan hukuman penjara maksimum sembilan tahun jika sabit kesalahan mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia atas tuduhan mencuri dengan kekerasan.

The post Lelaki Melaka buat onar di Batam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved