
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan melupuskan harta curi.
Md Dellassrul Md Ali mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas tuduhan melupuskan sebiji rim kereta milik Pee Young Keong pada 22 September lalu, jam 11 pagi di sebuah premis di Jalan Tuntul Off Batu 5, Jalan Tuaran.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 November sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,600 dengan dua penjamin.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 60 tahun turut didakwa mencuri tong gas seberat 14 kilogram (kg).
Husin Dullah mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di kedai makan Borneo Chicken Rice di Kampung Air pada 16 September, jam 10 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 November sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,600 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.



