Lelaki mengamuk bersenjatakan dua pisau diberkas

LocalPolitics
5 May 2026 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki mengamuk bersenjatakan dua pisau diberkas
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki mengamuk di tangga kedai di Damansara Perdana pada Isnin.

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan yang mengamuk sambil memegang dua bilah pisau telah ditahan di tangga lot kedai di Damansara Perdana di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 malam.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Damansara kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Setibanya di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan berada di tangga bersebelahan premis sambil memegang dua bilah pisau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shamsudin berkata, anggota polis telah mengambil tindakan segera dengan menghampiri suspek dan mengarahkannya supaya menyerahkan pisau yang dipegang.

"Suspek berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini sebelum dibawa ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya selama tiga hari sehingga 7 Mei ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.