Murid Tahun 2 maut dipercayai dilanggar van depan pagar sekolah

5 May 2026 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Murid Tahun 2 maut dipercayai dilanggar van depan pagar sekolah
Tangkap layar kemalangan maut membabitkan seorang murid perempuan Tahun 2 selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolah pada Selasa.

BATU PAHAT - Seorang murid perempuan Tahun Dua maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong di sini pada tengah hari Selasa.

Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dilanggar van ketika pulang dari sekolah sekitar jam 12.40 tengah hari dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dipercayai baru selesai sesi persekolahan sebelum bergerak keluar dari pintu pagar.

Secara kebetulan, van terbabit juga keluar dari pagar sekolah selepas menghantar barang, namun tidak menyedari mangsa lalu merempuhnya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Kenyataan berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik siasatan awal selesai," katanya.