
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (8 April), tular di media sosial video aksi ganas seorang lelaki mengejar seorang anggota polis.
Menerusi beberapa video tular, lelaki berkenaan dilihat memegang peralatan seperti pisau dan melibas ke arah anggota terbabit dalam kejadian kejar-mengejar yang dipercayai berlaku di Telok Panglima Garang, Selangor.
Walau bagaimanapun, tindakannya itu dapat dihalang oleh anggota polis dan orang ramai yang turut berada di tempat kejadian.
Insiden itu nyata menjadi perhatian hingga ramai yang tertanya-tanya punca sebenar kejadian terbabit.
Entah apa kes sampai mengamuk. Siap bersenjata tajam. Kasihan orang nak berniaga pun kena kacau. Dengan polis pun dia langsi. Cari pasal.Lokasi : Telok Panglima Garang
Lelaki Mengamuk & Pecahkan Barang Di Sebuah Restoran Makanan Laut
Terbaharu, polis telah menahan lelaki yang bertindak ganas ke arah anggota polis dan kenderaan peronda (MPV) di sebuah restoran makanan laut yang terletak di Telok Mengkuang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, pihaknya telah menerima maklumat berhubung insiden itu kira-kira jam 3.30 petang daripada anggota MPV Sektor 4 Telok Panglima Garang.
Sususlan daripada maklumat yang diterima, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi pemeriksaan lanjut.
“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang,” katanya.
Turut Rosakkan 3 Kenderaan Orang Awam
Bukan itu sahaja, tiga kenderaan milik orang awam yang berada di sekitar kawasan kejadian turut dirosakkan oleh suspek.
“Malah, suspek bertindak lebih ganas apabila melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV sehingga mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.
“Hasil tindakan pantas dan cekap anggota di lokasi, suspek berjaya ditahan,” katanya
Suspek Dibawa Ke Hospital Untuk Pemeriksaan Lanjut
Tambah Mohd Akmalrizal, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 353, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.
POLIS DAERAH KUALA LANGAT – TANGKAPAN SATU LELAKI SEDANG MENGAMUK BERSAMA SEBILAHPISAU DAN MEROSAKKAN KENDERAAN POLIS
Posted by Polis Daerah Kuala Langat on Wednesday 8 April 2026
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Mengamuk, Acu Pisau Pada Anggota Polis Di Pandan Indah Berjaya Ditahan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Polis Lepas Tembakan Amaran & Tahan Lelaki Mengamuk Bawa Pisau Pemotong Daging [Video]
