Lelaki mengamuk libas pisau pemotong daging ke arah polis

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 8:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki ketika mengejar anggota polis dalam satu kejadian di Kuala Langat pada Selasa.

KUALA LANGAT – Seorang lelaki bertindak ganas melibas senjata ke arah anggota polis serta kenderaan peronda (MPV) dalam kejadian di sebuah restoran makanan laut di Telok Mengkuang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang daripada anggota MPV Sektor 4 Telok Panglima Garang.

Menurutnya, susulan maklumat tersebut, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.

"Siasatan awal mendapati suspek telah memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek turut merosakkan tiga kenderaan milik orang awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

"Malah, suspek bertindak lebih ganas apabila melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV sehingga mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.

"Hasil tindakan pantas dan cekap anggota di lokasi, suspek berjaya ditahan," katanya

Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 353, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak mengejar serta mengacu senjata dipercayai pisau ke atas anggota polis di sebuah restoran.