Lelaki meninggal dunia ketika bermain boling

LocalHealth & Fitness
25 Jun 2026 • 6:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki meninggal dunia ketika bermain boling
Iz'aan Haris meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika bermain boling di sebuah pusat boling pada Rabu.

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika bermain boling di sebuah pusat boling di daerah ini pada Rabu.

Mangsa berusia 36 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang pada jam 10.12 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, pengadu memaklumkan abangnya itu tiba-tiba pengsan ketika menyertai permainan boling di pusat permainan berkenaan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azaharudin memberitahu, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki itu akibat serangan jantung mengejut.

"Kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya.

Sementara itu, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi hantaran di media sosial merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Iz'aan Haris Sarengat.

Allahyarham difahamkan peserta Kejohanan Tenpin Bowling Belia 2026 anjuran Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sabak Bernam.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," jelas kenyataan itu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved