Lelaki menyelam tangkap ikan di sungai ditemukan lemas

13 Mar 2025 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan bomba dan penduduk kampung membawa naik mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Kampung Pirasan, Kota Belud.

image is not available
Mangsa dan empat rakannya melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menyelam di sungai sebelum lemas.

KOTA BELUD - Aktiviti lima sekawan menangkap ikan dengan menyelam di sungai berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas di Kampung Pirasan, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mayat lelaki berusia 29 tahun ditemukan oleh penduduk kampung di lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.19 pagi.

**media[3043895]**

"Menurut maklumat awal, terdapat seorang lelaki dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di sungai untuk mencari ikan pada jam 1.20 pagi.

"Ketika kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya namun dia disedari tidak timbul di permukaan sungai pada selepas kira-kira 10 minit kemudian," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya lagi, rakan mangsa cuba mencarinya namun gagal sebelum melaporkan kejadian itu kepada penduduk lain serta bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Kira-kira 30 penduduk kampung turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sebelum dia ditemui di lokasi kejadian dalam keadaan tidak bernyawa.

"Pasukan bomba kemudian mengangkat mangsa ke darat dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.