Lelaki miliki tujuh rekod lampau, pecut kereta lari pemeriksaan polis diberkas

LocalPolitics
20 Mar 2026 • 9:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki memandu kereta curi sebelum memecut laju selepas dikejar polis.

PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki memandu kereta curi sebelum memecut laju selepas dikejar polis akhirnya menjerat diri apabila berjaya ditahan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu berlaku di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) ketika anggota kereta peronda polis hendak melaksanakan pemeriksaan terhadap kenderaan suspek jenis Perodua Myvi.

Menurutnya, suspek bagaimanapun bertindak agresif dan melanggar beberapa kenderaan lain sebelum berjaya ditahan.

“Pemeriksaan mendapati suspek warga tempatan mempunyai tujuh rekod lampau dan satu rekod dikehendaki atas kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 di daerah Kuala Bera.

“Semakan terhadap nombor casis kereta suspek didapati mempunyai rekod kenderaan hilang bersabit dengan laporan di daerah Kuala Bera,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek berusia lingkungan 20-an direman selama dua hari sehingga Jumaat bagi siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk siasatan kes di daerah terbabit, sementara kertas siasatan akan dilengkapkan dan ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya.

Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak tepat serta tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden terbabit.

“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.