
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 52 tahun yang bekerja sendiri, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim kepada pertuduhan terhadapnya, pada Rabu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu dengan meraba dan menjilat payudaranya pada jam 3.30 petang, 3 Okt tahun ini di sebuah bilik sebuah rumah di Kepayan, dekat sini.
Kesalahan itu, mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Disebabkan hubungan tertuduh dengan mangsa, terdapat hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(2)(c) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 Nov tahun ini untuk e-semakan dan memerintahkan lelaki itu direman sementara menunggu tarikh tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dacia Jane Romanus hadir untuk pendakwaan, manakala lelaki itu tidak diwakili.
Sementara itu, seorang lelaki berumur 33 tahun dipenjara tujuh tahun dan dikenakan 10 sebatan kerana memiliki 32.14 gram syabu.
Mohd Fauzi Roslim mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, kepada pertuduhan terhadapnya.
Dia didapati memiliki dadah itu pada jam 4.35 petang 17 Dis 2020 di hadapan pusat servis kereta di Sulaman Sentral Kuala Manggatal, di sini.
Mahkamah memerintahkan Mohd Fauzi menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap pada 17 Dis 2020 dan kenderaan yang dirampas semasa tangkapan, dikembalikan kepada pemilik asal.
Semasa rayuan, Mohd Fauzi yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan dengan mengatakan ia kesalahan pertamanya dan dia perlu menjaga anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.
Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia pernah dijangkiti virus Covid sebanyak tiga kali.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada Mohd Fauzi tetapi orang lain yang mungkin berniat melakukan kesalahan serupa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

