Lelaki nyaris maut, Hilux dihempap pokok tumbang

20 Apr 2026 • 7:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki nyaris maut, Hilux dihempap pokok tumbang
Kenderaan dipandu mangsa dalam kejadian pada Isnin.
Image from: Lelaki nyaris maut, Hilux dihempap pokok tumbang
Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang sedang dijalankan oleh anggota bomba di lokasi.

SELAYANG – Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Selayang-Kepong menghala ke arah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini pada Isnin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu sebuah Toyota Hilux berdepan detik cemas apabila sebatang pokok tiba-tiba tumbang lalu menghempap kenderaan dipandunya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.10 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

"Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.45 petang dan komander operasi mengesahkan terdapat sebatang pokok tumbang yang menghempap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

**media[3497245]**

"Terdapat seorang mangsa dalam kenderaan berkenaan, bagaimanapun mangsa didapati berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian itu tidak melibatkan sebarang struktur bangunan dan kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang sedang dijalankan oleh anggota bomba di lokasi.

Tambahnya, operasi melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

"Pasukan bomba bertindak memotong serta mengalihkan pokok yang tumbang bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan," ujarnya.