MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita tujuh kenderaan yang dipandu warga asing tanpa dokumen sah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar negeri ini sejak Isnin lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, tindakan itu melibatkan lima motosikal dan dua kereta yang dikesan dipandu oleh warga asing.
Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh anggota penguat kuasa JPJ bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta keselamatan pengguna.
“Kesemua kenderaan yang disita telah dibawa ke depot JPJ untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemandu yang terlibat juga akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tambah beliau, JPJ Melaka akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung pelanggaran undang-undang serta memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.





