Lelaki OKU maut jatuh rel: Polis rakam keterangan 4 individu

LocalPolitics
23 Feb 2025 • 11:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Seramai empat individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas terjatuh dan dilanggar tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah merakam keterangan empat individu termasuk pengadu dan petugas LRT.

"Setakat ini, kita masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Fadil Hesam Mohd dilaporkan berkata, Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 8.38 pagi.

Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Balai Bantuan BBP Titiwangsa telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Mangsa ditemui berada di bawah landasan rel keretapi dan disahkan meninggal dunia.

Siasatan awal dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar oleh sebuah tren yang melintasi kawasan tersebut.