BACHOK - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 41 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di Kampung Mujur, Jelawat di sini pada Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Zamizi Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam kira-kira 9.15 pagi.
"Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah sementara kekal yang melibatkan kemusnahan 90 peratus.
"Terdapat seorang mangsa lelaki terperangkap. Operasi terkawal pada jam 9.38 pagi dan lima minit kemudian OKU terbabit ditemukan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, operasi terbabit melibatkan lapan anggota serta sebuah jentera dan pikap.


