
Pelakon Yana Samsudin berkongsi berita kepulangan bapanya, Samsudin Jamuri ke rahmatullah pada jam 1.50 petang, Sabtu.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan sendiri oleh Yana menerusi hantaran di Instagram (IG) yang memuat naik foto hitam putih dirinya bersama arwah bapa di katil hospital, menggambarkan detik penuh emosi yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Abah saya, Samsudin Jamuri telah kembali ke Rahmatullah pada jam 1.50 petang, Sabtu, 27 Jun 2026 bersamaan 11 Muharram 1448 Hijrah. Arwah rebah selepas solat Maghrib, iaitu ketika sedang berzikir sebelum sempat mengakhiri doa, Khamis lalu.
"Selepas menerima rawatan, ALLAH SWT akhirnya menjemput beliau pulang ke sisi-NYA pada hari ini,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Yana turut memohon agar orang ramai menitipkan doa buat arwah bapanya yang telah kembali ke rahmatullah.

“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah serta mengampunkan dosa seluruh umat Islam yang telah kembali kepada-NYA,” katanya.
Mengakui dirinya amat terkesan dengan pemergian insan paling dekat di hati, Yana berkata ketenangan yang dipamerkan di luar tidak menggambarkan perasaan sebenar yang ditanggung.
“Muka saya mungkin kelihatan tenang, tetapi hati hanya ALLAH yang tahu. Abah, terima kasih kerana menjadi ayah yang terbaik buat kami.
"Hari ini, dunia saya kehilangan seorang lelaki yang paling saya sayang. Susuk tubuh lelaki paling awal yang paling saya sayang telah pergi selamanya. Semoga kita dipertemukan kembali di syurga, insya-ALLAH,” luahnya.
Difahamkan, solat jenazah akan dilaksanakan di Masjid Jamek Yong Peng, Johor selepas solat Isyak malam ini sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yong Peng.

