
Tuaran: Seorang lelaki dilaporkan cedera parah akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tamparuli - Ranau, Kampung Kapa Tamparuli di sini, awal Ahad.
Insiden kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa lelaki berusia 35 tahun yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Avanza mengalami cedera pada badan.
Sementara itu, lima lagi yang menaiki kenderaan sama dan seorang pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.02 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat satu mangsa tersepit dalam kereta SUV di bahagian hadapan dan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital Tuaran bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pasukan turut memeriksa keadaan kedua-dua kenderaan dan sekitar lokasi bagi memastikan tiada punca bahaya lain.
“Punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 3.50 pagi,” ujarnya.




