
Lelaki Penerima Buah Pinggang Babi Meninggal Dunia
AMERIKA SYARIKAT — Seorang lelaki yang menerima pemindahan buah pinggang babi pertama yang diubah suai secara genetik dilaporkan meninggal dunia dua bulan selepas menjalani pembedahan, lapor BBC.
Hospital Besar Massachusetts (MGH) menzahirkan rasa sedih atas kematian mengejutnya dan mengucapkan takziah kepada keluargannya.
“Mendiang akan sentiasa dikenang sebagai harapan kepada pesakit pemindahan di seluruh dunia.
“Kami sangat berterima kasih atas kepercayaan dan kesanggupan mendiang dalam bidang xenotransplantasi,” kata MGH dalam satu kenyataan.
Untuk makluman, bidang Xenotransplantation ialah pemindahan sel, tisu atau organ hidup dari satu spesies ke spesies yang lain.
Menurut MGH, mendiang, 62, menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir sebelum menjalani pembedahan tersebut pada Mac lalu.
Pemindahan organ lain daripada babi yang diubah suai secara genetik terhadap mendiang adalah satu peristiwa bersejarah, selepas pemindahan sebelum ini gagal.
Bagaimanapun, pihak hospital menafikan punca kematian adalah akibat daripada pembedahan berkenaan susulan tiada indikasi yang menunjukkannya.
Pada 16 Mac, iaitu selepas melakukan pemindahan buah pinggang babi, doktor mengesahkan dia tidak lagi memerlukan dialisis.
Hal ini kerana menurut doktor organ baharu itu dikatakan berfungsi dengan baik.
Selain menghidap penyakit buah pinggang, mendiang juga penghidap diabetes dan hipertensi.
Difahamkan juga, pada tahun 2018 dia menjalani pemindahan buah pinggang manusia tetapi gagal selepas lima tahun.
Sementara itu, saudara-mara juga berkata kisah mendiang cukup memberi inspirasi.
“Mendiang berkata bahawa salah satu sebab dia menjalani prosedur ini adalah untuk memberi harapan kepada beribu-ribu orang yang memerlukan pemindahan untuk terus hidup.
“Kini, dia telah mencapai matlamat itu dan harapan serta keyakinannya akan kekal selama-lamanya.
“Bagi kami, mendiang adalah seorang lelaki yang baik hati, lucu cerdik yang sangat berdedikasi kepada keluarga, rakan dan rakan sekerjanya,” kata ahli keluarga.
Terdahulu, dua pesakit telah menerima pemindahan jantung babi, tetapi prosedur itu tidak berjaya kerana penerima meninggal dunia beberapa minggu kemudian.
Sumber: BBC
The post Lelaki Penerima Buah Pinggang Babi Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.


