
SEPANG – Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dengan 31 rekod jenayah lampau bertindak nekad merempuh lima kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, suspek memandu Honda Civic merah enggan berhenti apabila diarahkan anggota kereta peronda polis (MPV) semasa rondaan cegah jenayah di kawasan KLIA.
Suspek kemudian melarikan diri ke laluan terminal Aras 3 dan merempuh beberapa kenderaan awam yang berada di situ.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian. Pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 31 rekod jenayah lampau serta satu rekod kesalahan dadah yang masih dikehendaki.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 dan 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya serta kesalahan trafik. Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Sepang pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, rakaman video tular di media sosial memaparkan Honda Civic merah tersebut melanggar beberapa kenderaan awam ketika cuba meloloskan diri daripada polis. – MYBERITA


