
KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 buah kenderaan mewah disita dalam Operasi Khas Luxury selama tiga hari bermula 25 Ogos lalu sehingga semalam.
Antara kenderaan yang disita ialah Honda Civic Type R yang dipandu seorang etnik Rohingya yang dikesan berkonvoi bersama beberapa kenderaan lain di Plaza Tol SPE. Pemeriksaan mendapati pemandunya tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Kenderaan lain yang disita termasuk Ferrari F8, Porsche Macan, Land Rover Range Rover Sport, BMW, Mercedes-Benz, Audi, Volvo dan Toyota Alphard.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap pemilik atau pengguna kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang.
“Nilai, jenama, harga atau status sesebuah kenderaan tidak pernah dan tidak akan mendapat pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan. Sama ada kenderaan berharga puluhan ribu atau berjuta ringgit, undang-undang tetap terpakai,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 73 notis dikeluarkan membabitkan 39 kes cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans (30), tiada Lesen Memandu Kompeten (3) dan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain (1).
Sepanjang 2026 setakat 28 Ogos lalu, sebanyak 179 kenderaan disita, manakala 393 notis P22 dikeluarkan membabitkan 209 kes LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans (158), kes tiada CDL (21) dan lain-lain kesalahan (5) dalam Operasi Khas Luxury.
Sebanyak 179 notis sitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan menjadikan jumlah keseluruhan 572 notis sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan tahun ini.
“Mana-mana pihak yang menggunakan kenderaan tanpa LKM, insurans, lesen memandu atau melakukan kesalahan lain akan berdepan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Rohingya konvoi pandu Honda Civic Type R appeared first on Kosmo Digital.

