Lelaki Sabah Hilang 4 Jari, Tertembak Diri Sendiri Ketika Memburu

16 Jul 2024 • 5:20 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Tragedi memburu, petani cedera parah akibat senjata buatan sendiri di Sabah

Lelaki Sabah Hilang 4 Jari, Tertembak Diri Sendiri Ketika Memburu. Seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat senjata buatan sendiri semasa aktiviti memburu di Sabah. Kejadian ini berlaku di sebuah kebun di Kampung Panganitan, Nabawan, Keningau pada hari Ahad, 14 Julai.

Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, menyatakan bahawa mangsa berusia 28 tahun itu sedang memburu menggunakan senapang ‘bakakuk’. Senjata ini merupakan senjata api buatan sendiri yang mudah dipasang dan popular di kalangan penduduk Sabah.

image is not available

Akibat kemalangan itu, mangsa kehilangan empat jari dan mengalami patah tulang rusuk kiri. Beliau terpaksa mengikat lengan kirinya untuk menghentikan pendarahan.

Abang mangsa menjumpainya selepas menyedari adiknya tidak pulang ke rumah. Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Nabawan sebelum dipindahkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut dan pemantauan.

Senjata warisan nenek

Polis telah merampas senapang ‘bakakuk’ tersebut bersama satu kelongsong peluru patrun. Siasatan mendapati senjata itu merupakan hadiah daripada nenek mangsa dua tahun lalu, bertujuan untuk melindungi kebun mereka daripada serangan babi hutan.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.

Baca juga artikel yang berkaitan: