
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mengambil tindakan kepada sekumpulan lelaki menjual durian tanpa memakai baju susulan video yang tular di media sosial.
Seorang pengguna aplikasi X dikenali Syed Akramin berkata, pekerja itu juga dilihat seperti tidak mengambil kursus pengendalian makanan bagi menjalankan aktiviti menjual raja buah tersebut.
"Saya rasa mereka ini tidak pernah hadir kursus kendalian makanan.
"Harap KKM boleh beri nasihat dan ambil tindakan. Putrajaya dan Kajang bukan jauh pun," tulisnya di ruangan kapsyen pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial menyaksikan beberapa lelaki sado tidak memakai baju sedang menjual buah durian di sebuah gerai yang dipercayai terletak sekitar Kajang.
Penampilan peniaga yang tidak memakai baju menarik perhatian ramai selepas video tersebut dimuat naik di akaun TikTok pemilik gerai berkenaan.
Dalam pada itu, seorang pengguna aplikasi sama bernama Kerol juga meminta pihak berkenaan untuk mengambil tindakan secepatnya.
"Dia mula dah nak buat merapu-rapu, pihak berkuasa tolong kenakan tindakan cepat," katanya.
Bagaimanapun seorang pengguna turut memaklumkan kebanyakan kedai di Putrajaya juga tidak mencapai piawaian kebersihan makanan dan memohon KKM menjalankan siasatan segera.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyifatkan pekerja berkenaan tidak mementingkan kebersihan semasa berniaga.
Malah ada yang berkata, aksi mereka tidak memakai baju itu merupakan taktik pemasaran menjijikkan selain keadaan berkenaan boleh mengundang fitnah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom!


