
SINGAPURA – Seorang lelaki dari Singapura mencuri perhatian ramai kerana memiliki wajah dan susuk tubuh seperti lelaki muda walaupun usianya kini sudah mencecah 60 tahun, lapor portal berita Oddity Central.
Lelaki tersebut, Chuando Tan, sering digelar sebagai ‘vampire Asia’ kerana penampilannya yang kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar meskipun sudah berada dalam kelompok warga emas.
Jurugambar dan model itu mula menjadi perhatian pada tahun 2017 selepas gambar-gambarnya ketika berusia 50 tahun menjadi tular di media sosial.
Tidak Pernah Jalani Pembedahan Plastik
Menurut Tan, dia tidak pernah menjalani pembedahan plastik atau menggunakan rawatan kosmetik bagi mengekalkan wajah muda.
Sebaliknya, lelaki itu berkata rahsia penampilannya hanyalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk melakukan senaman secara konsisten.
Dalam satu perkongsian di Instagram sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-60, Tan turut berkongsi pandangannya mengenai usia dan kehidupan.
“Hari ini, pada hari lahir saya yang ke-60, saya diingatkan bahawa masa adalah satu-satunya kekayaan sebenar. Setiap matahari terbit tiba sebagai warisan, bukan jaminan,” tulisnya.
Walaupun sering dipuji kerana kelihatan awet muda, Tan mendedahkan bahawa dia tetap berdepan tekanan kerana sedar usianya semakin meningkat. – The Malaysian Update
The post Lelaki Singapura Digelar ‘Vampire Asia’ Kekal Awet Muda Pada Usia 60 Tahun appeared first on The Malaysian Update.
