Lelaki Singapura terjerat tawaran upah lumayan bawa bunga ganja RM1.52 juta

10 Nov 2026 • 12:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki Singapura terjerat tawaran upah lumayan bawa bunga ganja RM1.52 juta

IPOH – Tawaran upah lumayan sebanyak 4,000 dolar Singapura (RM12,686.68) menjerat seorang lelaki warga Singapura sehingga sanggup menjadi ‘keldai’ untuk menyeludup bunga ganja bernilai RM1.52 juta menerusi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada Ahad lalu selepas anggota polis bantuan LTSAS mengesan sebuah bagasi mencurigakan ketika pemeriksaan di kaunter daftar masuk.

Katanya, tangkapan dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi berkenaan menemukan 36 bungkus plastik lutsinar yang setiap satu mengandungi ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja dianggarkan seberat 19,040 gram.

“Jumlah dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan oleh seramai 47,900 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke London sebagai destinasi akhir.

Katanya, suspek menerima tawaran pekerjaan berkenaan menerusi sebuah laman web yang menjanjikan upah lumayan untuk membawa bagasi yang didakwa mengandungi barangan tiruan berjenama mewah ke London.

“Suspek dipercayai menaiki penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur sebelum menginap di sebuah hotel di Kajang untuk bertemu pembekal bagi mendapatkan bekalan dadah berkenaan.

“Suspek kemudian bergerak ke Ipoh menggunakan perkhidmatan e-hailing pada Sabtu lalu sebelum ditahan pada 8 November kira-kira pukul 6.20 pagi,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah manakala semakan rekod lampau mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki Singapura terjerat tawaran upah lumayan bawa bunga ganja RM1.52 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved