
KUALA LUMPUR - Tiga rakyat Malaysia ditahan di sebuah lapangan terbang antarabangsa negara itu kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan 76.14 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira RM9.87 juta.
Mereka yang ditahan ialah dua lelaki berusia 22 dan 30 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun.
Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) Rabu lalu memaklumkan, ketiga-tiga individu itu tiba dari Dubai menggunakan penerbangan Emirates EK709 sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam.
Pemeriksaan oleh pegawai Seksyen Antinarkotik Kastam (CANS) itu dibuat selepas meneliti profil penumpang dan menjalankan soal siasat.
Pemeriksaan bagasi kemudiannya membawa kepada penemuan 70 bungkusan plastik hitam berisi tumbuhan hijau disyaki ganja, sebelum kesemua bahan itu dirampas untuk siasatan lanjut.
Kes terbabit diserahkan kepada Unit Antidadah dan Penyeludupan (ADSU).
Menurut laporan media tempatan Mauritius, siasatan awal mengaitkan bekalan dadah itu dengan Thailand, malah salah seorang suspek dipercayai singgah di negara berkenaan sebelum terbang ke Dubai dan meneruskan perjalanan ke Mauritius.
Suspek lelaki berusia 30 tahun yang dilaporkan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menetap di Singapura itu dipercayai membawa 10.9kg ganja.
Sementara itu, dua lagi suspek yang dilaporkan tinggal bersama di Pulau Pinang pula dipercayai membawa 32.5kg dan 32.6kg ganja setiap seorang.
Dalam kes berasingan yang dipercayai mempunyai persamaan dari segi modus operandi, seorang lagi rakyat Malaysia berusia 55 tahun yang bekerja sebagai tukang masak turut ditahan di lapangan terbang sama pada 23 Oktober lalu.
Penahanan lelaki itu dibuat selepas pemeriksaan bagasinya menemukan 17.8kg ganja.
Seperti tiga suspek berkenaan, lelaki terbabit juga tiba dari Dubai menerusi penerbangan Emirates EK709. - Getaran, 9 November 2026






