
Mesti ramai antara kita terutamanya golongan wanita yang berimpian nak memiliki wajah yang mulus tanpa kedutan kan. Siapa je yang nak nampak tua sebelum usia kan?
Namun, buat lelaki di Dongguan, China ini pula, dia telah mengalami masalah untuk mendapat pekerjaan gara-gara memiliki wajah dan bentuk fizikal tubuh seperti budak walaupun dia telah berusia 27 tahun.
Memetik laporan Oddity Central, lelaki yang dikenali sebagai Mao Sheng itu tular di media sosial Douyin (platform TikTok China) dengan kisahnya itu.

Dia mendakwa dirinya telah berusia 27 tahun walaupun dari segi fizikalnya, dia kelihatan seperti budak lelaki yang berumur 10 tahun.
Wajahnya yang baby face itu menyebabkan ramai majikan enggan mengambilnya bekerja kerana tidak percaya dia adalah orang dewasa.
Dalam masa yang sama, walaupun ada majikan yang percaya dengan usianya, mereka tetap tidak mahu mengambilnya bekerja sebab takut pihak berkuasa akan menuduh mereka mengambil kanak-kanak bawah umur bekerja.

Setelah kisahnya tular di negara itu, ramai majikan yang mahu menawarkannya pekerjaan.
Mao Sheng dikatakan tekad mahu mencari kerja untuk menyara kehidupannya bersama bapanya yang kini sakit akibat strok.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah penyebab atau masalah kesihatan yang menyebabkannya tampil lebih muda daripada usia sebenar.
Namun, nampaknya ini bukanlah kali pertama perkara ini berlaku sebab beberapa tahun sebelum ini, seorang lelaki di Korea Selatan yang dikenali sebagai Shin Hyomyung juga pernah menjadi perhatian ramai gara-gara dirinya yang kelihatan seperti budak belasan tahun walaupun pada ketika itu telah berusia 32 tahun, lapor Korea Boo.
Sumber: Oddity Central
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


