Lelaki taksub api bakar hutan, 65,000 orang kena pindah

Environment
7 Aug 2026 • 9:16 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki taksub api bakar hutan, 65,000 orang kena pindah

WASHINGTON  – Lelaki disyaki mencetuskan kebakaran yang memusnahkan 800 struktur di Barat Laut Amerika Syarikat(AS),  baru-baru ini mengaku merancang tindakannya dengan teliti dan memulakan 24 kebakaran lain sejak 2025, kata polis.

Suspek yang dikenali sebagai Aaron Farinacci dihadapkan ke mahkamah semalam. Dia pernah dipenjara hampir 10 tahun kerana membunuh bapanya, demikian menurut rekod mahkamah, sebelum dibebaskan pada 2020.

Farinacci,  37, ditahan awal minggu ini di sebuah hutan berhampiran bandar Spokane, negeri Washington, di mana lebih 65,000 orang terpaksa berpindah akibat tiga kebakaran besar.

Farinacci disyaki mencetuskan kebakaran paling dahsyat dinamakan Kebakaran Old Trails yang memusnahkan seluruh kawasan perumahan ketika api sampai ke  Spokane.

Ikat jamin suspek dinaikkan daripada AS$1 juta (RM4.09 juta)  kepada AS$2 juta  (RM8.19 juta). Suspek juga  tidak menyatakan sama ada mahu mengaku bersalah atau sebaliknya.

Namun, sebelum perbicaraan, Farinacci mengaku kepada polis bahawa dia merancang kebakaran itu selama  dua minggu dan merujuk aplikasi cuaca untuk meramalkan hari dengan ‘angin kencang, kelembapan rendah dan kepanasan tinggi,’ demikian menurut dokumen mahkamah difailkan kelmarin.

Dia juga mengaku tertarik dengan api dan percaya ‘apa sahaja yang dibakar  api akan  mengalami kelahiran semula’, kata seorang detektif dalam dokumen itu.

Farinacci memilih Sabtu lalu untuk memulakan kebakaran kerana  dia tahu  hari itu berangin, dengan tiupan sehingga 80 kilometer sejam di samping keadaan lain yang ‘sesuai untuk mencetuskan kebakaran’, tambah dokumen sama.

Pihak pembelaan telah meminta supaya dia menjalani penilaian kesihatan mental.

Pasukan bomba menunjukkan kemajuan sejak beberapa hari lalu dalam mengawal kebakaran hutan di sekitar Spokane, sebuah bandar dengan 230,000 penduduk dan terletak kira-kira 370 kilometer  ke timur Seattle. – AFP 

 

The post Lelaki taksub api bakar hutan, 65,000 orang kena pindah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved