KUALA TERENGGANU - Seorang ibu diselubungi rasa terkilan kerana gagal menyelamatkan anaknya meskipun telah berusaha meredah api dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Gong Tok Nasek di sini malam Isnin.
Sharipah Yusof, 59, berkata, dalam kejadian pada jam 10.52 malam itu dia cuba meredah api sebanyak tiga kali dengan memasuki semula rumah untuk memanggil anaknya, Abd Latif Abd Rashid, 41, yang ketika itu sedang tidur di dalam bilik yang berkunci di tingkat atas.
Bagaimanapun, ibu kepada empat anak itu berkata usaha tersebut gagal sebelum anak sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam ditemui rentung di tingkat bawah rumah berkenaan.
"Ketika kejadian makcik dan suami, Abd Rashid Mat Zin, 64, baru tidur selepas pulang dari rumah seorang lagi anak kami. Kami terdengar pintu rumah diketuk kuat oleh orang awam dan apabila dibuka mereka memberitahu rumah terbakar serta segera menarik kami berdua keluar.
"Ketika itu saya teringat anak saya sedang tidur di tingkat atas dan saya meminta orang ramai untuk selamatkan dia tetapi mereka tidak berani kerana api sedang marak. Jadi makcik sendiri masuk sebanyak tiga kali dan memanggilnya untuk keluar tetapi gagal kerana ada api di tingkat atas dan bawah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
**media[3604784]**
Sharipah berkata, dia juga berasa sedih kerana semua barang dapur yang dibeli melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk kegunaan mereka tiga beranak turut musnah dijilat api.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Timbalan Penguasa Bomba II, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya tiba di lokasi pada jam 10.57 malam dan berjaya mengawal kebakaran 15 minit kemudian dengan kekuatan 22 anggota daripada BBP Kuala Terengganu, BBP Kota Raja dan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Losong.
Beliau berkata, ketika anggota bomba tiba, kira-kira 80 peratus rumah tersebut telah terbakar dan operasi segera ditumpukan kepada usaha mengawal api serta mencari mangsa yang dipercayai masih berada di dalam rumah separa kekal itu.
"Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan rentung di bahagian bawah rumah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas apabila lantai rumah terbakar dan runtuh," katanya.
Thoyyibah berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama




