

Seorang lelaki menjadi bahan bualan hangat di media sosial apabila dia menunjukkan surat saman daripada Jabatan Pengangkutan Jalan di Melaka, semalam.
Rata-rata netizen mempersoalkan notis saman panjang yang diterima lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, JPJ Melaka tampil menjelaskan bahawa pihaknya telah mengeluarkan enam saman terhadap terhadap lelaki berkenaan yang merupakan warga Indonesia selepas ditahan menunggang motosikal majikannya tanpa lesen dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di Melaka.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, lelaki berusia 30-an antara 11 warga asing yang ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).
Katanya, semakan lanjut mendapati warga asing itu turut melakukan beberapa kesalahan jalan raya lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta kesalahan teknikal lain.
“Kita turut mengeluarkan saman terhadap pemilik motosikal tersebut iaitu majikannya dan menyita kenderaan terbabit. Dalam operasi itu, mengikut pecahan seramai lapan warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Syria, Myanmar dan Bangladesh berusia 30-an hingga 40-an ditahan,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Melaka, Bukit Katil, hari ini.



