
Lelaki Terharu “Rider” Tolong Tukar Tayar Kereta Bocor, Berkeras Tak Mahu Upah
Kadang kala pelbagai perkara tidak terjangka berlaku walaupun kita sudah bersiap sedia sehabis baik. Begitu juga ketika memandu kenderaan di jalan raya, risiko musibah boleh berlaku pada bila-bila masa meskipun sudah berhati-hati.
Salah satu masalah yang sering berlaku adalah tayar bocor ketika memandu kereta di jalan raya. Bayangkan tayar kereta anda bocor di tengah-tengah pusat bandar, dengan jumlah kenderaan yang banyak.
Namun, kebiasaannya akan ada orang-orang baik yang datang membantu menukar tayar tersebut.
Baru-baru ini tular perkongsian seorang lelaki di Threads mengenai situasi yang dihadapinya apabila tayar kereta miliknya bocor.
BACA JUGA: Belajar Di Malaysia, Lelaki Indonesia Kongsi 6 Pengalaman Yang Dilaluinya
Apa yang mencuri tumpuan adalah dia telah dibantu oleh seorang lelaki yang bertegas tidak mahu apa-apa upah.
Menurut @hdiffff_, dia menyedari tayar keretanya bocor selepas ditegur oleh seorang pengguna jalan raya.
Dia kemudian berhenti di tepi jalan untuk memeriksa tayar tersebut dan selepas itu seorang penunggang motosikal datang membantunya menukar tayar.
Nak bagi upah tapi punyalah dia tolak sampai macam tu sekali
“Pagi tadi tengah memandu ada pakcik Cina tegur tayar bocor, berhenti tepi dan selepas itu ada abang rider India berhenti tolong tukarkan tayar sekali.
“Nak bagi upah tapi punyalah dia tolak sampai macam tu sekali. Semoga lampu trafik sentiasa hijau, pesanan laju masuk dan urusan abang dipermudahkan selalu. Terima kasih orang baik,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, dia juga memuat naik video rakaman dashcam yang memaparkan ketika dia cuba menghulur wang kepada penunggang motor itu.
Membantu dengan ikhlas, penunggang motor terbabit dilihat menolak upah tersebut dan terus beredar dari tempat kejadian.

Perkongsian itu menarik perhatian ramai, menjengah ke ruangan komen ramai yang terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh penunggang motosikal itu.
Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman lebih kurang sama.
“Inilah keindahan Malaysia, setiap manusia ada kebaikannya yang tersendiri”
“Aku pernah kereta tiba-tiba rosak mati enjin kat tengah jalan utama..aku baru je buka lampu kecemasan nak turun kereta tiba-tiba ada brader India dengan kawan naik motor dia tolong tolak kereta aku ke tepi jalan..tak sempat nak cakap terima kasih dia terus jalan sambil lambai tangan kat aku..memang respect orang macam ni..hati mulia suka membantu”
“Terima kasih orang baik, semoga urusan dia dipermudahkan”
Sumber: hdiffff_
The post Lelaki Terharu “Rider” Tolong Tukar Tayar Kereta Bocor, Berkeras Tak Mahu Upah appeared first on Siakap Keli.
