Lelaki tertembak rakan disangka rusa dipenjara

LocalPolitics
27 Sep 2025 • 4:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun dijatuhi hukuman penjara 13 bulan kerana menembak mati rakannya yang disangkakan rusa ketika memburu di sebuah hutan berhampiran.

Rusimin Basungkit mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata A dia dipenjara lapan bulan bermula dari tarikh tangkapan manakala untuk Seksyen 304A Kanun Keseksaan, dia dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dari tarikh tangkapan.

Mangsa Rusdi Rudin Tindus, 56, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tembakan di kepala.

Menurut kertas pertuduhan, pada 13 September tahun ini kira-kira jam 5.10 pagi, satu laporan dibuat oleh pengadu iaitu isteri mangsa menyatakan bahawa suaminya pulang ke rumah dengan keadaan kepala berdarah pada jam 9.30 malam sebelumnya.

Pengadu membawa mangsa ke Hospital Ranau sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Pada jam 9.45 pagi hari sama, Rusimin berjaya dikesan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau untuk soal siasat awal.

Hasil siasatan mendapati pada 12 September kira-kira jam 8 pagi, Rusimin memasuki kawasan hutan Kg Sinurai untuk memburu. Dia ternampak seekor haiwan yang disangkakan rusa lalu melepaskan tembakan namun peluru itu mengenai bahagian belakang kepala mangsa.

Selepas kejadian, Rusimin membawa mangsa pulang ke rumahnya sebelum isteri mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Kaingaran.

Dr Goh Zhi Ling dari Hospital Queen Elizabeth mengesahkan mangsa meninggal dunia di Wad Neurosurgeri pada 14 September kira-kira jam 3.45 petang.

Pada hari sama, polis dari BSJD IPD Ranau dengan bantuan pasukan forensik D10 JSJ IPK Sabah membuat rampasan bersama melibatkan senjata bakakuk dan satu kelongsong peluru kosong 12-bore GB Club No. 4 berwarna hijau yang dijumpai di dalam bakakuk milik Rusimin yang diletakkan pada dahan kecil.

Siasatan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai permit atau lesen sah untuk memiliki senjata api.