
PETALING JAYA – Lelaki tertua Malaysia yang sebelum ini diiktiraf Malaysian Book of Records (MBOR), meninggal dunia Sabtu lalu selepas dimasukkan ke hospital pada 11 Ogos lalu.
Seliman anak Bandang yang berusia 113 tahun, meninggal dunia pada jam 5.20 pagi ketika dirawat di Hospital Saratok, Sarawak, menurut laporan media tempatan yang memetik anak lelakinya, Mulok Seliman.
Pada 2021, Seliman yang ketika itu berusia 111 tahun, diiktiraf sebagai lelaki tertua di Malaysia oleh MBR.
Difahamkan upacara pengkebumian dijadualkan hari ini di Rumah Panjang Mulok di Krian, Saratok.
Seorang ahli keluarga, Micky Chang, memaklumkan mendiang kemudian akan dikebumikan di tanah perkuburan Kristian Klua.
Mendiang meninggalkan dua anak, Sembilan cucu dan 23 cicit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dilaporkan sempat menziarahi Seliman ketika beliau dirawat di hospital, yang kemudian dikongsikan di Facebook Edisi Kalaka Saratok.
Mohamad dilaporkan keluarganya mempunyai hubungan erat dengan keluarga Seliman.
“Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad biasa mengunjungi rumah panjang Encik Seliman di usia kanak-kanak beliau. Pada petang ini ditemani oleh kakak beliau, mereka telah menziarahi Encik Seliman Bandang serta keluarga,” manurut hantaran berkenaan.
Seliman dilahirkan pada 21 Mac 1910 dan diisytiharkan sebagai individu tertua yang sebelum ini dipegang Annamah Abukutty yang lahir pada 1911.
Pada Mac lepas, cucunya Michael Bandang Tinggai memuat naik hantaran mengenai sambutan ulang tahun kelahiran Seliman beserta gambar datuknya yang memegang sijil pengiktirafan sebagai lelaki tertua oleh MBOR. – Getaran, 21 Ogos 2023

