
PUTRAJAYA – Polis meminta seorang lelaki yang dipercayai mencetuskan provokasi sehingga berlaku insiden tolak-menolak pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya semalam tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, ia berikutan pihaknya telah menerima empat laporan berkaitan kejadian provokasi yang dipercayai berlaku pada pukul 5 pagi di Dataran Putrajaya ketika sambutan kemerdekaan.
“Pihak polis telah mengesan video dimuat naik di Facebook pemilik akaun bernama Anwar Captain Goose yang memaparkan seorang lelaki tempatan berbaju coklat dipercayai telah membuat provokasi.
“Dia juga telah merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki tular hari merdeka diminta datang balai appeared first on Kosmo Digital.






